Malaysian living in Qatar
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Hujan Emas

+3
hudish
DatukBendahara
silver16v
7 posters

Go down

Hujan Emas Empty Hujan Emas

Post by silver16v 2008-05-06, 14:20

Cerpen : Hujan Emas
Tulisan : Saat Sulaiman
Berita Harian, 10hb Oktober, 2004.
Source : http://jomtulis.blogspot.com/


SATA Saalimun nama pena bagi Saat Sulaiman, bakat baru dalam dunia penulisan kreatif, menerima pendidikan di Universiti Islam Madinah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), kini bergelar ahli perniagaan.

-----

HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.Kerajaan yang menyekolahkan kau, MARA yang memberi biasiswa hingga kau berjaya mendapat ijazah di Universiti Harvard. Mengapa pilih Amerika?," itulah kata-kata arwah ayahnya ketika Affan membuat keputusan untuk bekerja di Amerika Syarikat selepas menamatkan pengajiannya.

Setelah lima tahun berkhidmat di negara Uncle Sam itu, Affan mula gelisah dan rindu pada tanah air. Pesanan ayahnya terngiang-ngiang di telinganya. Impian ayahnya untuk melihat anaknya berkhidmat di negara sendiri tidak terlaksana.

Dia memilih Amerika kerana ganjaran dan gaji yang lumayan, kemudahan dan seronok dengan kehidupan di negara maju. Malah ketika ayahnya menghembus nafas terakhir, dia berada di Kanada mengikuti kursus yang dianjurkan oleh syarikatnya. Hanya bacaan Al-Fatihah mengiringi pemergian ayah tersayang.

"Maafkan Affan kerana tak dapat balik. Sekarang Affan di Kanada. Assalamualaikum," begitulah jawapan ringkas apabila ibunya menghubungi untuk memberitahu kematian ayahnya.

Memang sedih tidak dapat menatap wajah ayahnya buat kali terakhir. Kewajipan dan tugas perlu diutamakan. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Itulah kata-kata ibunya apabila dia mula menjejakkan kaki di Amerika untuk melanjutkan pelajaran.

Memang susah untuk membuat keputusan apabila mendapat berita kematian ayahnya.

Namun Affan tekad untuk meneruskan kerjanya demi menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja. Jika dia pulang ke tanah air pun, ayahnya tak akan bernafas semula.

"Kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menghantar pelajar Melayu melanjutkan pelajaran di luar negara supaya mereka mendapat pengetahuan, pengalaman, kemahiran. Kamu mestilah menceduk dan menimba pelbagai ilmu kemajuan di negara asing supaya dapat dipraktikkan di negara kita apabila kamu balik berkhidmat nanti.

Jika kamu sayangkan negara, belajarlah bersungguh-sungguh dan berkhidmatlah di tanah air setelah menamatkan pengajian nanti,". Begitulah ucapan Datuk Wira ketika majlis penyampaian biasiswa kepada pelajar-pelajar Melayu yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran di luar negara. Ketika ucapan itu masuk ke telinganya di dalam bangunan PWTC, Kuala Lumpur, semangat ingin berjaya dengan cemerlang berkobar-kobar dan impian untuk berkhidmat di tanah air ditanam di sanubari.

Namun segalanya berubah apabila berada di Amerika. Tika di tahun akhir pengajian, tawaran dari syarikat komputer terkenal, MICROSOFT, sampai di tangannya. Tawaran gaji dan pelbagai kemudahan menyebabkannya berubah fikiran. Keinginan berkhidmat di tanah air setelah tamat pengajian telah terkubur.

Setelah tamat pengajian, Affan balik ke tanah air untuk berehat beberapa bulan di samping menyampaikan berita gembira kepada keluarganya namun tidak diterima oleh ayahnya. Ayahnya menolak keras kemahuannya ingin bekerja di Amerika Syarikat.

"Kamu dah ada ijazah, apa yang kamu susah? Sini pun tak kurang hebat, ada syarikat

TELEKOM, TNB, RENONG dan lain-lain. Kamu boleh dapat kerja!," bentak ayahnya pada satu petang apabila Affan memberitahu keinginannya bekerja dengan MICROSOFT.

Namun Affan tetap dengan keputusannya. Dia meninggalkan tanah air dan bekerja di Amerika walaupun tanpa restu ayahnya, manakala ibunya hanya bersikap berdiam diri.

Pemergiannya ke Amerika hanya diiring ibunya di KLIA, Sepang. Ayahnya teramat marah dan kecewa dengan keputusannya. Tanpa restu ayah, memang membuatkan Affan agak serba salah. Namun keinginan dan ketamakan mendapat gaji dan ganjaran lumayan telah mengabui matanya.

"Mak, maafkan Affan. Affan tak dapat memenuhi permintaan ayah. Kirim salam pada ayah," katanya ringkas ketika dia ingin memasuki lobi berlepas. Ibunya hanya menitikkan air mata.

"Mak akan mendoakan kejayaan dan kebahagiaan Affan di mana pun berada. Ingat pesan mak, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung! Jaga diri baik-baik…," pesan ibunya terputus putus akibat menahan tangisan.

Penerbangan ke Amerika dirasakan amat jauh sekali. Fikirannya menerawang. Teringat kenangan manis bersama ayahnya. Ayahnya menghantar ke sekolah ketika dia berumur enam tahun menaiki basikal buruknya. Air matanya merembes teringat kenangan silam.

Ayahnya selalu menceritakan kisah datuknya yang mempertahankan tanah air hingga

terkorban. Ayahnya selalu menanam sifat patriotik dan sayangkan tanah air.

Setelah setahun bekerja, Affan membuat keputusan mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan yang juga rakan sekerja. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, lelaki dan perempuan. Walaupun berada di negara asing. Affan mendidik kedua anaknya agar mampu menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu mesti dikekalkan kerana bahasa melambangkan bangsa. Meskipun jauh dari tanah air, agama dan bangsa tidak pernah dilupakan. Didikan agama yang disemai oleh ibu bapanya semenjak kecil tetap dipraktikkan walau berada di negara asing.

Tinggal di kota Washington memang benar-benar menguji keimanan. Ramai hanyut

dalam budaya dan cara kehidupan Barat. Persetubuhan tanpa nikah, filem lucah adalah perkara biasa di kota ini. Masyarakat di sini hanya mementingkan keseronokan dan kebendaan.

Corak kehidupan dan gaya hidup moden masyarakat kota membuatkan Affan termanggu-manggu. Perbezaan dan jurang amat ketara jika dibandingkan dengan tanah air. Mujurlah didikan ibu bapa mampu menjadi benteng kepada Affan supaya tidak hanyut dalam budaya asing.

Kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke kota Washington membuka minda Affan.

Antara inti pati ucapannya di ‘Malaysia Hall’ yang dihadiri oleh rakyat Malaysia yang menetap di Amerika:

"Negara kita masih kekurangan jurutera, doktor, saintis dan pakar dalam pelbagai bidang terutamanya sains dan teknologi. Jika kamu mempunyai kepakaran dan kemahiran yang diperlukan oleh negara, berbakti dan berkhidmatlah di tanah air. Kerajaan memang tidak mampu membayar gaji yang lumayan sebagaimana yang kamu dapati di negara maju seperti Amerika tetapi jika kamu balik dan berkhidmat di negara kita, kemajuan dan pemodenan akan lebih cepat terhasil. Jika kita menjadi negara maju dengan lebih cepat, kerajaan akan mampu membayar gaji yang lumayan sebagaimana yang kamu peroleh di sini. Tanah air banyak berjasa kepada kita, jadilah warga yang membalas jasa dan mengenang budi dengan berkhidmat di tanah air,".

Ucapan penuh emosi yang dilontarkan oleh perdana menteri membuat Affan benar-benar tersentak dan terpegun. Ia membuatkan Affan kembali mempunyai semangat dan kemahuan berbakti di negara sendiri.

"Ain, Abang nak berbincang," Affan memulakan bicara. Ain adalah panggilan manja isterinya yang bernama Norainah binti Abdullah.

"About what?" jawab isterinya dalam bahasa Inggeris.

"Abang nak balik ke Malaysia dan bekerja di sana. Cukuplah lima tahun berbakti di negara orang, abang nak berkhidmat untuk negara sendiri,".

“Up to you!" balas isterinya tidak acuh.

"Ain bagaimana? Nak ikut tak?," Affan cuba menduga.

"I'm with you where ever, what ever…," jawab isterinya dengan yakin.

Setelah berfikir panjang, Affan dan keluarga membuat keputusan untuk balik ke Malaysia. Affan merasa sedih dan terharu dengan pengorbanan isterinya yang sanggup meninggalkan keluarga di Amerika demi menurut suami tersayang.

"Amerika dah buang kau ke?," sindir kakaknya, Intan apabila Affan memberitahu hajatnya ingin pulang ke tanah air.

"Hujan emas di negeri orang…,” balasnya ringkas.

"Harap-harap keputusan kau tak berubah…," tegas kakaknya.

Affan mula mengemaskan barang-barang dan pakaian, menjual apartmen yang dibelinya dua tahun lalu, menyiapkan segala dokumen untuk pulang ke tanah air.

Surat berhenti kerja telah dihantar kepada pengerusi syarikat. Mr Bill, pengerusi syarikat menemui Affan dan menjelaskan kepada Affan bahawa dia tidak menerima surat peletakan jawatan.

"You can still be my worker, although not here," jelas Mr Bill.

"What do you meant,” tanya Affan.

"We will open new branch in Kuala Lumpur and you will be a marketing manager there," jelas Mr Bill dengan slanga Amerikanya. Affan amat gembira dengan berita itu.

Ternyata keputusannya pulang ke tanah air tidak silap. Bukan sahaja dapat berjasa kepada negara tercinta tetapi juga dapat memajukan teknologi komputer dengan menjadi pengurus MICROSOFT di Malaysia.

Kepulangan Affan dan keluarga disambut dengan gembira terutama ibunya. Ibunya tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila anak lelaki kesayangannya terpacul di muka pintu rumahnya.

"Apa khabar mak?", Tanya Norainah kepada ibu mentuanya dengan slanga tersendiri.

"Baik, nak. Orang putih pun pandai cakap Melayu!" gurau mentuanya.

Selepas mengemaskan barang-barang, Affan meminta izin ibunya untuk menziarahi pusara ayahnya. Di pusara, Affan membaca surah Yasin dan berdoa:

"Ya Allah, Tuhan Maha Pengampun, maafkanlah dosaku dan dosa ayahku. Rahmatilah dan kasihanilah ayahku yang banyak berjasa dan berbakti kepadaku. Limpahilah rahmat dan nikmat kepada ayahku," air matanya mula merembes.

Walaupun agak terlewat, namun Affan dapat menunaikan impian ayahnya untuk berkhidmat di tanah air walaupun kepulangannya agak menyedihkan kerana ayahnya telah pergi buat selamanya.

Affan bertekad akan mendidik anak-anak sayangkan tanah air, berjasa kepada bangsa, agama dan negara. Sebagaimana ayahnya menanam ke dalam jiwanya sayangkan tanah air, begitulah akan dilakukan kepada anak-anak.
silver16v
silver16v
Active Member
Active Member

Number of posts : 360
Location : Doha
Registration date : 2008-04-01

http://www.malaysiaqatar.com

Back to top Go down

Hujan Emas Empty Re: Hujan Emas

Post by DatukBendahara 2008-05-06, 16:57

Crying or Very sad
Memang la. Duit dah banyak balik la.

Cuba lepas grad terus kerja kat Malaya. Tak ke naik BMW tiap-tiap hari sampai boleh beli kapchai? Lepas kapchai........ Proton. Lepas Proton...... Vios. Lepas Vios.... Altis. Last car yang mampu. Yang kat atas tu syok pakai Merc, BMW (Real punya. Bukan yang bayar 50sen round satu KL) dan macam2 sport car. Yang kita meleleh air liur nengok. Maklum la.... tak pandai mengampu dan main politik kat opis.
DatukBendahara
DatukBendahara
Active Member
Active Member

Number of posts : 124
Registration date : 2008-04-01

Back to top Go down

Hujan Emas Empty Re: Hujan Emas

Post by hudish 2008-05-06, 22:18

hmm boleh buat skrip drama untuk tayangan hari merdeka nanti.
hudish
hudish
Active Member
Active Member

Number of posts : 23
Registration date : 2008-04-03

Back to top Go down

Hujan Emas Empty Re: Hujan Emas

Post by Rifdee 2008-05-07, 05:09

Menarik...Cerpen ini mengetengahkan salah satu aspek dalam kehidupan anak-anak dagang dari Malaysia. Sebagai imbangan, konsep 'penghijrahan' juga seharusnya diberi pertimbangan yang wajar.

dgn. izin - I'm assuming this is about readers' comments on the short-story.
Rifdee
Rifdee
Active Member
Active Member

Number of posts : 221
Registration date : 2008-04-26

Back to top Go down

Hujan Emas Empty Re: Hujan Emas

Post by noble-man 2008-05-07, 10:31

Di Malaysia hujan sampai banjir.

Di Qatar susah sungguh nak jumpa hujan.
Katak oh katak, kenapa kau tak panggil hujan......?
noble-man
noble-man
Active Member
Active Member

Number of posts : 209
Registration date : 2008-04-21

Back to top Go down

Hujan Emas Empty Re: Hujan Emas

Post by noble-man 2008-05-07, 12:54

"Hujan Emas" - Satu Sinopsis :

1. Affan pergi bekerja ke US tanpa direstui oleh ayahnya. Takut takut nanti semua rezeki yg diperolehi di US tu tak berkat.

2. Affan telah berkahwin dan mengIslamkan isterinya, besar sungguh pahalanya tu.

3. Ibu Affan berkata : "Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung." Apakah maksud sebenar peribahasa ini ? Apakah kita perlu menjunjung semua yg ada di atas kepala kita ??

4. Siapakah agaknya PM Malaysia yg memberi ucapan itu ? Apakah benar rakyat Malaysia berpeluang mendapat bayaran gaji yg sama banyak dgn apa yg Affan perolehi di US apabila Malaysia mencapai status negara maju nanti ?

5. Affan cuma dapat bertahan di US selama 5 tahun....apakah tempoh 5 tahun ini satu tempoh yg wajar bagi anak-anak dagang di Qatar ??
noble-man
noble-man
Active Member
Active Member

Number of posts : 209
Registration date : 2008-04-21

Back to top Go down

Hujan Emas Empty Re: Hujan Emas

Post by nsham05 2008-05-07, 13:14

1. Tak dapat blessing tu is a cultural thing. But he has not transgressed any broad social norms that would invalidate his rezeki as un-berkat.

2. Morally upright.

3. I think it means stand tall wherever you may be

4. Siapa eh? Dr M ke Badawi? Both made efforts to entice Malaysians abroad to come back & serve.

5. I think there was a Malay who was in the US Army Intelligence, naturalized US citizen and passed on in the States. (Sorry, can't really verify that though). Tapi kalau Malaysians nak merantau, tak terhad masanya, mungkin limitationnya ialah rindu yang amat sangat kat Tanahair.

Nukilan ini lebih bersifatkan pertanyaan bukan statement of facts.
nsham05
nsham05
Active Member
Active Member

Number of posts : 37
Registration date : 2008-04-29

Back to top Go down

Hujan Emas Empty Re: Hujan Emas

Post by Racing_Camel 2008-05-10, 11:14

terima kasih kerana mengutarakan artikel ni. sungguh menarik dan menyentuh kalbu.

walaubagaimanapun, saya berpendapat, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, kumpul emas banyak2 dan bawa pulang ke Malaysia. laburkan mengikut pelaburan yang mengikut syariah Islam.

pada zaman di mana kita mempunyai kemudahan teknologi yang canggih, bekerja di luar negara sebenarnya bukanlah merupakan sesuatu yang sukar. kita sekarang mempunyai kemudahan untuk menghubungi keluarga setiap hari melalui teknologi yang dipanggil VoIP (voice over Internet Protocol). sekarang pula, ada website yang menawarkan pakej yang membolehkan kita membuat landline DAN mobile free of charge!

Jadi, ini adalah sesuatu yang boleh kita yakinkan kepada kedua orang tua kita bahawa kita jauh tapi dekat. Hubungilah kedua-dua orang tua kita selalu dan mencuba untuk pulang ke Malaysia setiap tahun. Kalau tidak, cuba untuk membawa mereka ke sini. Dan, berusahalah untuk menjaga mereka (berbual, bertanya khabar, memberi sumbangan wang, dll) sepertimana mereka menjaga kita seperti kecil.

Berbalik kepada berbakti kepada negara, sebenarnya, kita masih berbakti kepada negara dengan menyumbangkan zakat setiap kali balik ke Malaysia. Duit zakat ini juga membantu membangunkan negara. Memang lah kita ingin berbakti kepada negara, tetapi dengan syarat, biarlah mereka sudi membayar gaji yang tinggi dan bukannya hanya membayar gaji tinggi kepada orang luar/bangsa asing sahaja.

Tetapi saya rasa, negara kita tidak akan dapat berbuat demikian pada masa sekarang. Kalau ada pun, macam2 constraint yang akan dikenakan (sudah ada contoh kawan2 kita yang sudah pulang ke Malaysia). Jadi, marilah kita kumpul emas dahulu.
Racing_Camel
Racing_Camel
Active Member
Active Member

Number of posts : 192
Location : Arabian Desert
Registration date : 2008-04-01

Back to top Go down

Hujan Emas Empty Re: Hujan Emas

Post by silver16v 2008-05-10, 13:39

Saja nak mencelah. Dengar cerita kalau nak beli emas kat AlFardan Exchange ada jual 'gold bar'. lol!
Betul tu saya juga ingin mengingatkan diri sendiri dan kwn2, jangan lupa bayar zakat. Smile
silver16v
silver16v
Active Member
Active Member

Number of posts : 360
Location : Doha
Registration date : 2008-04-01

http://www.malaysiaqatar.com

Back to top Go down

Hujan Emas Empty Re: Hujan Emas

Post by noble-man 2008-05-11, 07:58

Pada pemahaman saya, Zakat perlu dibayar di negara yg sama di mana pendapatan itu diperolehi, so kita bayar di sini or di Malaysia.....Ustaz, minta dijelaskan.
noble-man
noble-man
Active Member
Active Member

Number of posts : 209
Registration date : 2008-04-21

Back to top Go down

Hujan Emas Empty Re: Hujan Emas

Post by Racing_Camel 2008-05-22, 23:44

zakat fitrah aje yang dibayar disini. kalau zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat harta, itu bayar di Malaysia la.

So, 2.5% dari zakat pendapatan/simpanan/harta/dsb itu memang, Insya-Allah, membantu negara. Terpulang samada nak bayar online, atau pulang bayar di Pusat Zakat Negeri. Cuma, bezanya, kalau bayar secara online, tidak ada akad.
Racing_Camel
Racing_Camel
Active Member
Active Member

Number of posts : 192
Location : Arabian Desert
Registration date : 2008-04-01

Back to top Go down

Hujan Emas Empty Re: Hujan Emas

Post by Sponsored content


Sponsored content


Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum